Selasa, 13 Februari 2018 | 11:11pm
GAMBAR fail, ketua parti Kongres Parti Kebangsaan Afrika (ANC), Jacob Zuma, bercakap di luar Mahkamah Tinggi Pietermaritzburg, yang sedang mengkaji kesnya berhubung tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram pada Februari 2009. - Foto AFP

Zuma enggan letak jawatan

JOHANNESBURG: Afrika Selatan menyaksikan perkembangan politik besar hari ini, selepas Presiden yang terpalit skandal, Jacob Zuma dilaporkan menolak arahan parti pemerintah Kongres Nasional Afrika (ANC) untuk meletak jawatan.

Perebutan kuasa berhubung peletakan jawatan Zuma itu menyebabkan hubungan dengan bakal penggantinya, Cyril Ramaphosa tegang. Ramaphosa adalah pemimpin baharu parti ANC.

Jawatankuasa eksekutif nasional (NEC) mengadakan mesyuarat selama 13 jam di sebuah hotel di luar Pretoria dan kemudian mengambil keputusan untuk 'menyingkirkan' Zuma daripada jawatannya, awal pagi tadi.

Ramaphosa dan setiausaha agung parti, Ace Magashule sudah menghantar permohonan supaya Zuma meletak jawatan di kediaman rasmi Presiden di Pretoria pada tengah malam.

"Zuma amat sombong. Beliau berkata tidak akan ke mana-mana kerana tidak melakukan kesalahan," kata ahli jawatankuasa ANC yang enggan dikenali kepada agensi akhbar Mail dan Guardian.

"Katanya, jika ANC mengeluarkan satu kenyataan mengenai keputusan untuk mengarahkan peletakan jawatan, beliau akan bertindak," kata ahli jawatankuasa ANC yang tidak mahu dikenali. - AFP

302 dibaca
Berita Harian X