;
Selasa, 30 Januari 2018 | 12:53pm
JAM tangan pintar terbaharu, Fitbit Ionic. - Foto Saddam Yusoff
JAM tangan pintar terbaharu, Fitbit Ionic. - Foto Saddam Yusoff

Fitbit lancar jam tangan pintar terbaharu

KUALA LUMPUR: Fitbit menghangatkan lagi persaingan dalam segmen jam pintar tempatan dengan pelancaran Fitbit Ionic.

Pengarah Pemasaran Produk Fitbit APAC, Alexander Healy berkata Fitbit Ionic adalah peranti boleh pakai keluaran Fitbit paling maju pernah dihasilkan setakat ini dengan menawarkan pelbagai fungsi untuk pengguna.

Ditawarkan pada harga harga RM1,399 seunit, Fitbit Ionic menawarkan fungsi menarik antaranya ialah pengenalan pengesan baharu SpO2, yang mana mampu menjejak keadaan kesihatan pengguna dengan lebih mendalam seperti apnea tidur pada masa depan.

"Selain itu, peranti ini turut memiliki keupayaan pengesanan GPS, pengesanan degupan jantung yang ditingkatkan dan mampu memainkan muzik menerusi storan dalaman sehingga 300 lagu.

"Ia juga mempunyai jangka hayat bateri sehingga lima hari dan mampu menyimpan pelbagai aplikasi utama telefon selain melancarkan notifikasi," katanya pada majlis pelancaran Fitbit Ionic di sini, sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Healy berkata, ia juga mempunyai keupayaan kalis air sehingga mampu dibawa masuk dalam kolam renang sehingga 50 meter dan turut menawarkan fungsi pembayaran menerusi Fitbit Pay yang membolehkan bayaran dibuat terus menerusi jam pintar ini.

"Fitbit Ionic ini dikuasakan oleh Fitbit OS, sistem operasi baharu dibangunkan kami khusus untuk jam tangan pintar. Ia akan sentiasa dikemaskini dari semasa ke semasa bagi memberi pengalaman baharu kepada pengguna," katanya.

Pada majlis sama, syarikat itu turut melancarkan dua produk baharunya untuk pasaran tempatan iaitu fon telinga tanpa wayar, Fotbit Flyer pada harga RM590 dan penimbang berat pintar Fitbit Aria 2 (RM620).Ketiga-tiga peranti Fitbit itu kini boleh didapati di pasar raya utama termasuk Harvey Norman, All IT Hypermarket, AONE Plus, Best Denki, Timekeeper dan Thunder Match Technology.

719 dibaca
Berita Harian X