Rabu, 14 Februari 2018 | 4:12pm

Imbangan pembayaran suku keempat catat defisit RM13.1b

KUALA LUMPUR: Imbangan pembayaran keseluruhan negara mencatat defisit sebanyak RM13.1 bilion pada suku keempat 2017, berbanding lebihan RM2.9 bilion dalam suku ketiga tahun dikaji, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Menurut bank pusat itu, lebihan akaun semasa meningkat sedikit kepada RM12.9 bilion pada suku keempat, merangkumi 3.7 peratus daripada Pendapatan Negara Kasar (PNK) berbanding RM12.5 bilion pada suku sebelumnya.

"Ini khususnya disebabkan oleh lebihan barangan yang lebih besar dan defisit lebih rendah dalam akaun pendapatan sekunder yang mengimbangi defisit yang lebih tinggi dalam akaun perkhidmatan dan akaun pendapatan primer," kata BNM.

Menurut bank pusat itu, bagi 2017 secara keseluruhan, lebihan akaun semasa meningkat kepada RM40.3 bilion atau 3.1 peratus daripada PNK iaitu tertinggi sejak 2015 berbanding 2.4 peratus daripada PNK pada 2016.

Prestasi eksport yang kekal kukuh dalam suku berkenaan juga menyumbang kepada peningkatan dalam lebihan akaun barangan kepada RM34.1 bilion berbanding suku sebelumnya.

Bagaimanapun, kata BNM, akaun perkhidmatan mencatat defisit yang lebih besar sebanyak RM6.9 bilion, disebabkan khususnya oleh lebihan lebih rendah dalam akaun perjalanan (RM7.9 bilion) apabila penerimaan perjalanan menurun akibat perbelanjaan per kapita pelancong yang lebih rendah.

"Defisit perkhidmatan pembinaan juga lebih tinggi (RM4.3 bilion), didorong oleh import perkhidmatan pembinaan yang lebih tinggi terutamanya yang berkaitan dengan sektor perlombongan, utiliti dan pengangkutan."

Menurut BNM, sebahagian besar defisit lebih tinggi dalam akaun pendapatan primer (RM9.5 bilion) adalah disebabkan oleh peningkatan keuntungan yang diperoleh pelabur asing di Malaysia, terutama dalam subsektor perlombongan dan subsektor perkhidmatan perdagangan borong dan runcit.

Walaupun defisit dalam akaun pendapatan sekunder kekal dalam jumlah besar, namun ia lebih kecil sedikit iaitu pada RM4.8 bilion.

"Pengiriman wang ke luar negara berjumlah RM8.6 bilion, didorong oleh pengiriman wang pekerja asing manakala pengiriman wang ke dalam Malaysia kekal pada RM3.8 bilion," kata BNM.

Bagi suku keempat 2017, akaun kewangan mencatat aliran masuk bersih sebanyak RM5.0 bilion berbanding aliran keluar bersih sebanyak RM1.2 bilion pada suku sebelumnya.

"Ini disokong oleh aliran masuk pelaburan portfolio oleh kedua-dua pemastautin dan bukan pemastautin, pelaburan langsung asing (FDI) dan beberapa pelupusan aset pelaburan langsung luar negara (DIA) oleh syarikat Malaysia.

"Aliran masuk ini sebahagiannya diimbangi oleh aliran keluar yang berpunca daripada operasi mudah tunai dan operasi pengurusan perbendaharaan bank," kata BNM.

Bank pusat itu berkata, akaun portfolio pelaburan mencatat aliran masuk bersih RM11.7 bilion berbanding aliran keluar RM5.1 bilion pada suku ketiga 2017, terutama disebabkan oleh portfolio bukan pemastautin yang mencatat aliran masuk lebih tinggi sebanyak RM7.7 bilion.

Prestasi ekonomi yang lebih baik daripada jangkaan, perolehan korporat yang lebih tinggi dan harga minyak dunia yang lebih baik menyokong sentimen pelabur dalam pasaran kewangan domestik, katanya.

Selain itu, pelaburan portfolio oleh pemastautin juga mencatat aliran masuk bersih sebanyak RM4.0 bilion apabila pelabur institusi domestik melupuskan sebahagian daripada pegangan bon mereka di luar negara.

-BERNAMA

76 dibaca
Berita Harian X