Rabu, 24 Januari 2018 | 10:22am
WAN Junaidi (empat dari kanan) dan Azman (tiga dari kanan) bergambar bersama pengunjung program Hasanah Bersama Rakyat di Pusat Konvensyen Penview di Demak, Kuching. - Foto Jannah Kho

Manfaat HBR dikongsi penduduk Kuching

KUCHING: Selepas Johor Bahru, Hasanah Bersama Rakyat (HBR) 'bertandang' ke bandar raya ini, sekali gus menjadi lokasi pembuka tirai program itu pada tahun ini.

HBR adalah lanjutan program Hari Hasanah, yang kali pertama dianjurkan pada September tahun lalu. Hari Hasanah dianjurkan bagi membolehkan masyarakat menyumbang usaha dan masa melakukan kebaikan.

Hampir 4,000 pengunjung Pusat Konvensyen Penview (PCC) di Demak di sini, menyertai aktiviti sosial dan kemasyarakatan disediakan, termasuk perkhidmatan percuma ditawarkan pelbagai jabatan serta agensi kerajaan sempena penganjuran program julung kali dianjurkan itu.

Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Tan Sri Azman Mokhtar, berkata program itu lanjutan kepada kejayaan program terdahulu di ibu negara dan Iskandar Puteri, Johor Bahru, yang mendapat sambutan menggalakkan.

"Ini sebahagian program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Khazanah, khusus bagi membantu memudahkan kehidupan rakyat, selain mengeratkan hubungan antara agensi kerajaan dan rakyat.

"Ia juga sebagai satu instrumen dalam membantu memperkukuhkan semangat kekitaan dan kenegaraan dalam kalangan rakyat, khususnya di Sarawak yang terkenal sebagai model pengukuhan elemen perpaduan serta keharmonian penduduknya yang berbilang etnik," katanya.

Program HBR dianjurkan Khazanah bersama Yayasan Hasanah, Yayasan Khazanah, Khazanah Research Institute, Think City serta beberapa rakan kongsi mereka yang lain.

Ia dirasmikan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Program itu mengetengahkan pelbagai aktiviti dan perkhidmatan secara percuma kepada rakyat.

Azman berkata, masyarakat gembira menghadiri program berkenaan dan menikmati pelbagai faedah daripada aktiviti disediakan, malah program sama akan diadakan di seluruh negara.

Bukti kerajaan dekati rakyat

Sementara itu, Wan Junaidi berkata, penganjuran program itu jelas memperlihatkan komitmen berterusan kerajaan mendekati rakyat, khususnya di kawasan pedalaman dan luar bandar, terutama di Sarawak.

"Walaupun lokasinya agak jauh dari pusat bandar, namun orang ramai terutama warga Kuching tetap datang memeriahkan acara ini," katanya.

Beliau berharap Khazanah dapat meneruskan program yang banyak memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini.

Pada program HBR itu, beberapa rakan kongsi Yayasan Hasanah, sebuah yayasan berasaskan impak milik Khazanah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut membuka 40 gerai menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk pemeriksaan kesihatan, kelas pendidikan, bengkel seni dan kraf tangan.


ZAKIAH Bujang.

Pengunjung, Zakiah Bujang, 35, berkata, penganjuran program itu banyak membantu rakyat khususnya komuniti di pinggir bandar.

"Pelbagai aktiviti diadakan memberi faedah kepada kami di sini, terutama penyaluran maklumat kepada semua lapisan masyarakat," katanya.

186 dibaca
Berita Harian X