Khamis, 29 March 2018 | 3:57pm
PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria(kanan) melancarkan Kad Debit-i Bank Islam Visa. - Foto BERNAMA

Bank Islam lancar kad debit BAM

KUALA LUMPUR: Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) bekerjasama dalam usaha penjenamaan bersama dengan Visa dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), menerusi kad Debit-i Islam BAM.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Khairul Kamarudin, berkata penjenamaan bersama itu bermatlamat untuk mendapatkan sokongan kewangan bagi meningkatkan mutu sukan badminton negara.

Katanya, pelancaran kad ini adalah sebahagian daripada strategi Bank Islam dalam meluaskan rangkuman kewangannya kepada peminat sukan tanah air.

"Kami menyasarkan peningkatan pengeluaran sebanyak 50,000 kad dari inisiatif penjenamaan beraama ini, sekali gus meningkatkan jumlah pengguna kad debit Bank Islam kepasa 3.2 juta di seluruh negara.

"Kad ini menawarkan pelbagai faedah menarik kepada pemegang dan sebahagian fi pengeluaran dan tahunan kad terbabit akan disalurkan kepada BAM sebagai sumbangan dari Bank Islam dan pemegang kad untuk pembangunan skuad badminton.

"Dengan setiap kad yang dikeluarkan dan diperbaharui, sebanyak RM2 akan disalurkan kepada BAM bagi tujuan berkenaan," katanya pada Majlis Pelancaran Kad Debit-i Bank Islam, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Khairul berkata, penjenamaan bersama itu adalah ke-16 antara Bank Islam, Visa, persatuan bola sepak kebangsaan dan negeri, persatuan hoki, universiti dan syarikat telekomunikasi.

Bersempena dengan pelancaran itu, Khairul turut mengumumkan tajaan daripada Bank Islam berjumlah RM300,000 kepada BAM.

Sementara itu, Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, berkata perjanjian penjenamaan bersama itu adalah sehingga 2021.

"Kami berharap supaya kerjasama ini akan membantu pelan pembangunan dan pertumbuhan jangka panjang kami ke arah sasaran utama iaitu memenangi pingat emas Olimpik pertama di Tokyo, Jepun, menjelang 2020," katanya.

Kad Debit-i Bank Islam boleh didapati di cawangan Bank Islam seluruh negara bermula minggu ketiga April 2018.

248 dibaca
Berita Harian X