Selasa, 13 March 2018 | 8:36pm
Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican dan Pengerusi Tahfiz Al Badr, Ustaz Ahmad Shahrizal, bergambar kenangan bersama pelajar madrasah. - Foto Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican

Pusat tahfiz Labuan dapat tapak baharu

LABUAN: Madrasah Tahfiz Al-Quran Al Badr Labuan akan berpindah ke lokasi baharu yang bakal memberi keselesaan dan jaminan keselamatan kepada 100 pelajarnya.

Pembinaan premis baharu yang akan dilengkapi pusat pentadbiran dan surau di Kampung Lubok Temiang itu dijangka dimulakan sebaik proses pemilikan tanah selesai,

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kesejahteraan Bandar Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Mustapha Ahmad Merican, proses itu kini pada peringkat akhir hasil bantuan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

"Kita bersyukur dan berterima kasih kepada dermawan Labuan yang menyerahkan tanah beliau untuk pembinaan pusat tahfiz ini. Pembinaan dijangka dimulakan tahun ini juga," katanya.

Pusat tahfiz itu yang dikendalikan oleh Ustaz Ahmad Sharizal kini beroperasi di Kampung Kerupang dan tidak lagi mampu menampung bilangan pelajar yang semakin meningkat.

Pusat tahfiz itu mengikut sukatan pengajian Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Pendidikan.

"Saya juga mencadangkan agar pihak pentadbir pusat tahfiz ini bekerjasama dengan pihak JAKIM dan Kementerian Pendidikan agar sentiasa berada di landasan yang betul dan tidak terlepas maklumat berkaitan dan polisi terkini kerajaan," katanya. - BERNAMA

238 dibaca
Berita Harian X