;
Selasa, 13 March 2018 | 6:53pm
DATUK Wira Ghazale Muhamad. - Foto Noor Azurin Mohd Sharif

Projek fasa 2 Sungai Melaka siap Ogos

MELAKA: Projek pengindahan tebing Sungai Melaka sepanjang 6.5 kilometer yang bakal menjadi satu lagi daya tarikan pelancong ke negeri ini, dijangka siap pada Ogos depan.

Timbalan EXCO Pelancongan, Pembangunan Pantai, Sungai dan Pulau-Pulau negeri, Datuk Wira Ghazale Muhamad, berkata pelaksanaan projek fasa kedua itu sudah mencapai 75 peratus.

Beliau berkata, kerajaan negeri berharap ia dapat disiapkan sepenuhnya tahun ini selepas tertangguh akibat beberapa masalah.

Melalui projek fasa satu, katanya, perkhidmatan bot pelancong, Melaka River Cruise disediakan untuk menelusuri Sungai Melaka.

"Bagi projek fasa kedua ini pula, kita bangunkan tebing kiri dan kanan sungai menjadi kawasan dipenuhi lampu LED yang akan dinyalakan mengikut musim," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Publisiti dan Seranta Lawatan Kerja Perdana Menteri ke Melaka di pejabat Tourism Melaka, Ayer Keroh, hari ini.

Sementara itu, Ghazale berkata, kerajaan negeri akan menaik taraf tiga kolam air panas di Melaka dalam usaha memperkasakan produk pelancongan, terutama di kawasan luar bandar.

Katanya, kawasan terbabit berpotensi besar dengan keunikan dan keindahan alam semula jadi dimiliki, secara tidak langsung membantu sosioekonomi penduduk luar bandar.

"Kita dalam perancangan membangunkan Kolam Air Panas Gadek, Kolam Air Panas Cherana Putih di Alor Gajah, dan Kolam Air Panas Bemban, Jasin, dengan menyediakan prasarana bagi keselesaan pengunjung, termasuk resort.

"Di samping itu, produk lain seperti medan ikan bakar, lokasi riadah di Laman Tiga Budaya, Asahan, dan Taman Ekstrem Tasik Chin Chin, Jasin, juga ditambah baik untuk diterokai pelancong," katanya.

297 dibaca
Berita Harian X