Isnin, 12 March 2018 | 6:27pm
DATUK Seri Mohamed Khaled Nordin diiringi Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani (empat dari kanan) dan ADUN Bukit Permai, Ali Mazat Mohd Salleh (tiga dari kanan) bergambar bersama warga FELDA yang menerima sijil hak milik dan Notis 5A ketika Majlis Penyampaian Hak Milik Kediaman Generasi Kedua dan Notis 5A di Dewan Terbuka FELDA Inas, Kulai. - Foto Hairul Anuar Rahim

Tiga inisiatif penting untuk warga FELDA di Johor

KULAI: Kerajaan negeri menetapkan tiga inisiatif besar dalam usaha menjadikan FELDA sebagai wilayah pertumbuhan luar bandar paling dinamik dan berdaya saing, transformasi pengurusan dan menyediakan peluang kemahiran kepada generasi muda tanah rancangan itu.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tiga tawaran penting itu antara inisiatif disediakan kerajaan negeri kepada warga FELDA di Johor jika diberi mandat dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14.

"Pertamanya, kita akan menjadikan kawasan FELDA sebagai wilayah pertumbuhan luar bandar paling dinamik dan berdaya saing selain mampu mempunyai kepentingan dan sumbangan bermakna kepada negara dan negeri.

"Kita akan mengarusperdanakan FELDA sebagai kawasan pertumbuhan strategik di daerah luar bandar Malaysia," katanya berucap sempena Majlis Penyerahan Hak Milik Tapak Kediaman Generasi Kedua FELDA Inas Utara dan Notis 5A, di Dewan Terbuka FELDA Inas di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai, Ali Mazat Salleh.

Mohamed Khaled berkata, janji kedua kerajaan negeri adalah memastikan model pengurusan FELDA ditransformasikan supaya warganya dan generasi kedua serta ketiga membabitkan diri serta diberikan kuasa untuk menguruskan aktiviti ekonomi FELDA.

"Janji kedua supaya mereka boleh terbabit dalam sektor pertanian dengan lebih giat dan amat munasabah untuk FELDA membuka ruang pekerjaan dan perniagaan kepada warganya," katanya.

Katanya, janji ketiga adalah memastikan setiap warga FELDA khususnya anak muda mempunyai kemahiran sekali gus memastikan setiap generasi FELDA memiliki kemahiran yang diperlukan untuk abad ke-21.

Mohamed Khaled berkata, kerajaan negeri dan FELDA mahu tanah rancangan itu dimajukan dan diusahakan dengan menggunakan sistem pertanian termaju supaya ia dapat mengeluarkan hasil yang berlipat ganda dari nilai sekarang.

Katanya, FELDA perlu ditransformasikan dan mesti mempunyai perubahan paradigma selain perlu dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh.

"Misi FELDA ini bukan lagi untuk membasmi kemiskinan dan ia sudah diselesaikan malah generasi dan penduduk bukan lagi mereka yang boleh dikelaskan sebagai miskin.

"Sekarang adalah masa untuk FELDA beranjak ke paradigma baru iaitu menjana kekayaan dan membangun potensi warganya secara lebih terancang, lebih sistematik dan pelbagai," katanya.

Beliau berkata, Pelan Baru untuk FELDA 2.0 dilancarkan minggu lalu bagi membangunkannya secara besar-besaran selain mahu dilihat sebagai satu wilayah dan kawasan yang mempunyai kepentingan ekonomi yang besar.

"Di Johor secara keseluruhannya mempunyai 73 tanah rancangan FELDA di 15 kawasan Parlimen dan bagi daerah Kulai mempunyai satu Parlimen dan mempunyai empat FELDA termasuk FELDA Inas," katanya.

Mengulas mengenai pemberian Notis 5A, Mohamed Khaled berkata, ia sebagai pengiktirafan kerajaan negeri di atas sumbangan mereka meneroka tanah terbabit.

"Hari ini seramai 233 penerima mendapat hak milik mereka dan penyerahan ini diberikan khusus kepada anak-anak peneroka yang layak mengikut kriteria ditetapkan oleh kerajaan iaitu satu keluarga, seorang waris yang boleh memohon.

"Selain itu penyerahan notis 5A kepada generasi kedua FELDA akan menyaksikan pemberian hak milik kepada penduduk Kampung Separa di Mukim Senai," katanya.

390 dibaca
Berita Harian X