;
Isnin, 12 March 2018 | 4:18pm
PEKERJA am sentiasa menyiram dan memantau keadaan pokok bunga serta pokok buah-buahan yang ditanam di sekitar kawasan Masjid Al Muttaqin, Kampung Tedong, Serkam. - Foto Norizzah Baharudin
LOKASI berbumbung bagi tujuan program penyembelihan setiap kali sambutan Hari Raya Aidiladha turut disediakan di Masjid Al Muttaqin, Kampung Tedong. - Foto Norizzah Baharudin
RUANGAN solat yang mampu memuatkan seramai 1,500 jemaah pada satu masa di Masjid Al Muttaqin, Kampung Tedong. - Foto Norizzah Baharudin

Taman bunga, dusun di kawasan masjid

JASIN: Bagi menjayakan sektor pelancongan Islamik di Melaka, Jawatankuasa Masjid Kampung Tedong, Merlimau, di sini, melaksanakan konsep masjid dalam taman dan kebun dengan menanam lebih 250 pelbagai jenis pokok.

Konsep yang dimulakan pada pertengahan tahun lalu itu turut mengetengahkan pelbagai tanaman yang dikategorikan hampir pupus atau kurang popular antaranya pokok nam nam, belunjai, mentega dan semarak api.

Pengerusi masjid itu, Datuk Akhbar Ali, berkata kebanyakan pokok di situ dibeli dari nurseri seluruh Melaka, selain sumbangan orang ramai yang ingin menyertai projek amal berkenaan.

"Jawatankuasa masjid turut mendapatkan khidmat nasihat dan anak pokok daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi penanaman dan penjagaan pokok memandangkan ada di antaranya yang hampir pupus.

"Kita jangka hasil yang dapat dituai antaranya seperti pokok lokam, kelat kayu, semarak api dan tekoma dalam tempoh kira-kira lima tahun dari sekarang," katanya ketika ditemui.

Dengan berkeluasan hampir 0.4 hektar, jawatankuasa masjid menggunakan sepenuhnya kawasan tanah itu selepas berjaya membina parkir tambahan untuk lebih 50 kereta dengan kos hampir RM200,000, bersebelahan masjid berkenaan.

Bagi menyelaras dan memudahkan majlis korban dan akikah di kampung itu pula, sebuah stesen penyembelihan yang lengkap dan dapat menguruskan lebih 10 ekor binatang korban pada satu-satu masa turut dibina.

Akhbar berkata, satu kalendar musim buah-buahan dan bunga-bungaan akan dibangunkan di laman sosial bagi memudahkan penggemar atau pengunjung merancang untuk mengunjungi masjid itu.

Katanya, secara tidak langsung konsep yang dibangunkan pihaknya dapat mengimarahkan masjid itu, di samping beramal dengan tidak mengenakan sebarang bayaran, khusus untuk pengunjung menikmati hasil dusun di masjid berkenaan.

"Hasil yang terkumpul akan digunakan untuk membina sebuah dewan serbaguna untuk kegunaan orang awam di tapak sedia ada bersebelahan bangunan masjid ini.

"Beberapa pemilik tanah sawah yang berada di sekitar kawasan ini juga bersetuju untuk mewakafkan tanah mereka untuk diselenggara dan dimajukan jawatankuasa masjid," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tedong, Ashri Komeng berkata, pihaknya turut mengenal pasti industri kampung yang dapat dimajukan sebagai konsep pelancongan selaras dengan konsep masjid berkenaan.

"Jenis produk pelancongan di kawasan ini kita sedang kenal pasti sama ada untuk dimajukan atau diketengahkan selari dengan konsep yang diperkenalkan pihak masjid.

"Persediaan awal perlu bagi menampung kedatangan pengunjung di kampung ini yang pastinya mencari produk pelancongan lain, terutama makanan dan penginapan," katanya.

324 dibaca
Berita Harian X