Ahad, 11 March 2018 | 8:48pm
PRESIDEN Persatuan Penternak Ikan Selangor, E.S. Tan (tiga kanan) menyerahkan memorandum kepada Ahli Parlimen Kapar dari PKR, G Manivannan (tiga kiri) di Pelabuhan Klang, hari ini. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Kecewa isu sangkar ikan belum selesai

PELABUHAN KLANG: Isu caj sangkar ikan di Pulau Ketam sudah dimajukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan EXCO berkaitan untuk diselesaikan.

Ahli Parlimen Kapar dari PKR, G Manivannan, berkata selepas menyerahkan isu berkenaan kepada wakil rakyat setempat, Dr Halimah Ali dan EXCO terbabit, Zaidy Abdul Talib, beliau tidak lagi masuk campur dalam hal berkenaan.

Katanya, beliau sekadar mengikut protokol ketika isu pembayaran Lesen Pendudukan Sementara (TOL) terhadap sangkar ikan penternak dibangkitkan kepadanya.

"Saya sudah panjangkan masalah ini kepada ADUN kawasan (Selat Kelang) dan EXCO yang terbabit dalam menguruskan masalah ini. Isu ini sepatutnya sudah selesai tetapi begini pula jadinya.

"Saya difahamkan bayaran tol yang membebankan menyebabkan sembilan penternak di Pulau Ketam terpaksa menutup perniagaan mereka.

"Dalam semakan saya, ada penternak berhijrah di negeri berdekatan seperti Perak dan Kedah," katanya ketika ditemui selepas menerima memorandum daripada 36 penternak ikan sangkar Pulau Ketam, di sini, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA Klang, Datuk Tan Bok Koon, berkata caj Lesen Pendudukan Sementara (TOL) sebanyak 40 sen bagi setiap satu meter persegi sangkar ikan, sangat tinggi.

Beliau berkata, bayaran itu sangat membebankan berikutan pendapatan penternak yang kurang memberangsangkan sejak kebelakangan ini.

"Kerajaan negeri tidak mengkaji dulu sebelum melaksanakan kutipan TOL ke atas penternak. Mereka sepatutnya turun padang dan berbincang dengan penternak," katanya.

Bok Koon juga memberi cadangan supaya caj berkenaan diturunkan kepada 10 sen bagi satu meter persegi agar tidak membebankan penternak.

"Saya kecewa dengan tindakan kerajaan negeri. Mereka sepatutnya bantu rakyat, bukan menindas. Hari ini, saya minta kerajaan negeri tidak melakukan kerja-kerja perobohan sangkar milik penternak di Pulau Ketam.

"Selesaikan masalah ini dahulu. Turun padang dan berbincang dengan penternak di sini. Jangan apabila pilihan raya sudah dekat dan apabila ada bantahan baru nak turun," katanya.

391 dibaca
Berita Harian X