Sabtu, 16 Disember 2017 | 4:47pm
PANGLIMA Armada Timur, Laksamana Madya Dato' Syed Zahiruddin Putra Syed Osman dan isteri (tengah) bergambar bersama lima pasangan pengantin anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada Majlis Bina Mahligai Bahagia Armada Timur 2017 di Masjid Ibnu Battuta Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Teluk Sepanggar. - Foto Lano Lan

5 anggota TLDM bersanding serentak

KOTA KINABALU: Lima anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), bersanding serentak dengan pasangan masing-masing di Masjid Ibnu Battuta, hari ini.

Empat anggota terbabit memilih gadis Sabah manakala seorang gadis Kelantan sebagai pasangan hidup dalam majlis di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu di Teluk Sepanggar, di sini.

Tiga pasangan berkenaan dinikahkan bekas Imam Besar Masjid Negeri, Datuk Mokhtar Rapok kira-kira jam 8 pagi manakala dua lagi pasangan bernikah beberapa bulan lalu.

Majlis persandingan serentak membabitkan lima pasangan diadakan selepas selesai akad nikah tiga pasangan berkenaan, dihadiri lebih 1,000 tetamu membabitkan ahli keluarga, rakan pasangan dan keluarga Armada Timur.

Sempena majlis julung kali diadakan itu, lima pasangan pengantin berkenaan turut diarak menggunakan buggy sekitar perkarangan masjid sebelum bersanding di masjid sama.

Majlis diserikan dengan kehadiran Panglima Armada Timur Pertama, Laksamana Madya Datuk Syed Zahiruddin Putra Syed Osman dan isteri, Datin Mariam Suri Ahmad.

Syed Zahiruddin berkata, penganjuran program berkenaan secara tidak langsung dapat memperkenalkan TLDM kepada ahli keluarga dan rakan pasangan mengenai komitmen pihaknya dalam memelihara serta memupuk semangat kerohanian, kebajikan dan sosial.

"Ia juga memberi gambaran kepada masyarakat bahawa kita bukan saja memandang serius aspek memelihara keselamatan di perairan negeri tetapi juga mementingkan pembentukan sahsiah diri dalam setiap warga TLDM," katanya sempena majlis Membina Bahtera Mahligai di sini, hari ini.

Melalui program itu setiap pasangan pengantin hanya membayar RM250 manakala perbelanjaan selebihnya dibiayai oleh Tabung Kelab Sukan Sosial dan Kebajikan ATM (KSSKA).

Sementara itu, pasangan pengantin Laskar Kelas Satu Provos Tentera Laut (PRL) Jalaluddin Mamat, 29, dan isterinya, Hanisha Lahanong, 23, tidak merancang bersanding beramai-ramai seperti itu kerana asalnya mahu bernikah pada 22 Disember ini.

"Kami mengubah tarikh kepada hari ini selepas mengetahui TLDM bakal menganjurkan majlis ini. Saya bersyukur akhirnya kami dapat disatukan selepas lima tahun berkenalan," katanya.

Mengimbau detik pertemuan, Jalaluddin dan isterinya berjumpa buat kali pertama ketika menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri seorang sahabat di Lahad Datu.

"Kami turut merancang mengadakan majlis persandingan di Lahad Datu bagi sebelah keluarga perempuan dan acara sambut menantu sebelah lelaki di Pasir Mas, Kelantan tahun depan," katanya.

868 dibaca
Berita Harian X