Selasa, 24 April 2018 | 12:14am
BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (dua dari kiri) bersama isteri, Tun Dr Siti Hasmah Ali (kiri) serta Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tiga dari kiri), Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (tiga dari kanan) serta Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin (dua dari kanan) di Program Jelajah Harapan Selangor di Stadium Terbuka Kuala Selangor. - Foto Muhammad Sulaiman

Azmin pertahan kerusi Gombak, Bukit Antarabangsa

KUALA SELANGOR: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kekal bertanding sebagai calon kerusi Parlimen Gombak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengumuman itu dibuat Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Program Jelajah Harapan Selangor di Stadium Terbuka Kuala Selangor, di sini, malam ini.

Selain itu, kerusi Parlimen Selayang kekal ditandingi William Leong, R Sivarasa (Parlimen Sungai Buloh), Wong Chen (Parlimen Subang) dan Zuraida Kamaruddin (Parlimen Ampang), manakala penyandang kerusi DUN Sentosa (sebelum ini dikenali sebagai Seri Andalas) Dr Xavier Jayakumar bakal bertanding di kerusi Parlimen Kuala Langat.

Bekas Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah dicalonkan bagi kerusi Parlimen Petaling Jaya, dan Parlimen Hulu Selangor pula diwakili oleh Leow Hsiad Hui.

Bagi kerusi DUN Selangor pula, PKR meletakkan hampir semua wakil rakyat mereka yang berjaya di kawasan masing-masing pada PRU-13 lalu.

Amiruddin Shari dikekalkan di kerusi DUN Sungai Tua, Suhaimi Shafie (DUN Sungai Kandis), Dr Daroyah Alwi (DUN Sementa) Rodziah Ismail (DUN Batu Tiga), Dr Idris Ahmad (DUN Ijok) dan Haniza Mohd Talha (DUN Lembah Jaya).

Sementara itu, DUN Paya Jaras, PKR meletakkan bekas wakil rakyat PAS yang kini bersama parti itu iaitu Mohd Khairuddin Othman dan DUN Pelabuhan Klang yang sebelum ini disandang bekas Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim akan diwakili Azmizam Zamanhuri.

Calon PKR lain Hilman Idham untuk DUN Gombak Setia, Rozana Zainal Abidin (DUN Permatang) G Sivamalar (DUN Bukit Melawati), Chua Wei Kiat (DUN Rawang) dan Syamsul Firdaus Mohamed Supri (DUN Taman Medan).

PKR akan bertanding 10 kerusi Parlimen dan 21 DUN di Selangor pada PRU-14.

Majlis pengumuman ini turut dihadiri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada PRU-3 lalu, Mohamed Azmin mempertahankan kerusi Parlimen Gombak dengan memperoleh 54,287 undi menewaskan calon BN dan Bebas.

Beliau mendapat 4,734 undi majoriti dengan calon BN, Datuk Dr Rahman Ismail memperoleh 50,093 undi dan Datuk Paduka Said Nazar (Bebas) mendapat 474 undi.

Selain itu, Mohamed Azmin memenangi kerusi DUN Bukit Antarabangsa dengan jumlah undi sebanyak 16,502 menewaskan calon BN, Mohamad Nazim Ibrahim yang memperoleh undi sebanyak 12,458.

PKR menjadi blok pembangkang terakhir mengumumkan calon PRU14 di negeri ini selepas DAP, PAN dan PPBM berbuat demikian pada semalam dan petang tadi.

PAN mempertaruhkan lima calon Parlimen termasuk Presidennya, Mohamad Sabu dan 10 calon DUN manakala DAP (empat Parlimen, 16 DUN) dan PPBM (tiga Parlimen, sembilan DUN).

8414 dibaca
Berita Harian X