Jumaat, 20 April 2018 | 5:50pm
PESURUHJAYA PAS Negeri Sembilan, Mustafa Daharun (empat dari kiri) bersama barisan calon selepas mengumumkan calon bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di Negeri Sembilan pada Majlis Pengistiharan Calon PRU 14 PAS Negeri Sembilan di Kompleks Latihan Islam Negeri Sembilan Kampung Ismail Ampangan. - Foto Iqmal Haqim Rosman

3 pemimpin utama PAS NS tanding Parlimen, DUN

SEREMBAN: Tiga pemimpin utama PAS Negeri Sembilan bertanding merebut kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Senarai calon PAS negeri yang diumumkan malam tadi menyaksikan parti itu akan meletakkan calon di lapan kerusi Parlimen dan 26 kerusi DUN pada PRU-14.

Pesuruhjaya PAS Negeri, Mustaffa Daharun akan bertanding di Parlimen Jempol dan DUN Ampangan; Timbalan Pesuruhjaya I, Rafiei Mustapha (Parlimen Kuala Pilah dan DUN Seri Menanti) dan Timbalan Pesuruhjaya II, Mohd Khairil Anuar Mohd Wafa (Parlimen Rasah dan DUN Labu).

PRU-14 juga menyaksikan PAS Negeri Sembilan menampilkan dua wanita iaitu Masita Mohamed Ali sebagai calon di DUN Paroi dan Fazilah Abu Samah di Senaling serta seorang calon bukan Islam, Yaw Con Seng daripada Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) negeri untuk DUN Temiang.

Mustaffa berkata, PAS negeri juga menampilkan 90 peratus muka baharu dan hanya mengekalkan lima calon sebagai muka lama bagi memberi saingan sengit kepada pencabar.

Lima muka lama ialah Mohd Khairil Anuar, Kamarol Ridzuan Mohd Zain (Sri Tanjung), Timbalan Pesuruhjaya III, Abdul Razakek Abdul Rahim (Repah), Kamaruddin Md Tahir (Johol) dan Norman Ipin (Jelebu).

"Walaupun ramai muka baharu, kita yakin untuk menang di banyak kerusi ditandingi atau jika tidak menang, sekurang-kurangnya memberi saingan sengit," katanya pada sidang media selepas majlis pengisytiharan calon dan pelancaran manifesto PAS Negeri Sembilan di sini, malam tadi.

Calon lain bagi Parlimen ialah Shariffuddin Ahmad (Seremban); Mustafa Dolah (Rembau); Mahfuz Roslan (Port Dickson) dan Mejar (B) Abdul Halim Abu Bakar (Tampin).

Bagi DUN, Jamalus Mansor (Chennah); Hamran Abu Hassan (Pertang); Abdul Karim Shahimi Abdul Razak (Sungai Lui); Mazly Yasin (Klawang).

Muhammad Alzukri Muhammad Yasin (Serting); Masdi Musa (Palong); Mohd Fairuz Mohd Isa (Jeram Padang); Mustafar Bakri Abdul Aziz (Bahau); Muhammad Ghazali Abu Bakar (Lenggeng); Mohd Abu Zahrim Abdul Rahman (Nilai); Rahim Yusof (Sikamat).

Hassan Mohamed (Juasseh); Ahmad Fadzil Othman (Pilah); Rosmin Adam (Chembong); Ishak Omar (Kota); Noor Mohamad Rizal Ishak (Linggi) dan Ishak Maasin (Gemencheh).

Malam tadi juga PAS Negeri Sembilan melancarkan manifesto dengan lima teras utama dan 13 tawaran termasuk urus tadbir Islam dan kerajaan negeri, kebajikan masyarakat, hal ehwal tanah, pertanian dan pendidikan.

1497 dibaca
Berita Harian X