Ahad, 4 Februari 2018 | 10:56am
PRESIDEN Parti Bersatu Sabah (PBS), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan mengetuai program tinjauan mesra PBS di Tamu Jalan Gaya di Kota Kinabalu, pagi ini. - Foto Lano Lan

PBS masih berahsia calon PRU-14

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) masih berahsia berhubung siapa bakal calon parti itu yang akan bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Presidennya, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, berkata senarai calon di semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi parti itu akan hanya diketahui pada hari penamaan calon.

Ketika ditanya sama ada parti itu yakin dapat merampas semula kerusi milik mereka yang jatuh ke tangan pembangkang pada PRU-13, beliau berkata tiada apa yang mustahil.

"Semua calon BN boleh menang (kerusi DUN dan Parlimen) kerana kita adalah sebuah gabungan yang bekerja untuk rakyat," katanya selepas mengetuai program tinjauan mesra PBS di Tamu Jalan Gaya di sini, pagi ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Johnny Mositun.

Pada PRU-13, PBS tewas enam dari 13 kerusi DUN yang diperuntukkan kepada parti iaitu Matunggong, Kadamaian, Tamparuli, Inanam, Api-Api dan Sri Tanjong, selain kerusi Parlimen Kota Kinabalu kepada DAP.

Terdahulu, tinjauan mesra itu bermula di Pasar Lido sebelum ke Tamu Jalan Gaya.

Pairin yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata berkata tinjauan mesra itu bertujuan beramah mesra dengan masyarakat sempena Tahun Baharu Cina yang akan disambut tidak lama lagi.

1227 dibaca
Berita Harian X