Khamis, 22 Februari 2018 | 4:00pm
KETUA Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg menerima replika tulisan kaligrafi Cina daripada Presiden Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian Datuk Richard Wee (tiga dari kanan) disaksikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Perdagangan Datuk Seri Wong Soon Koh (empat dari kanan) dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Sim Kui Hian (lima dari kiri) sebagai tanda penghargaan sempena majlis Tahun Baharu Cina 2018 di Kuching. - Foto Mohd Latif Ahmad

Kerajaan negeri terus sokongan pendidikan Cina

KUCHING: Kerajaan negeri meneruskan usaha menyokong pendidikan Cina di negeri ini, apabila memperuntukkan sebanyak RM7 juta kepada sekolah persendirian aliran Cina, tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata beliau amat komited untuk menyambung usaha bekas Ketua Menteri, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem dalam membantu sekolah Cina di Sarawak.

Katanya, sumbangan bagi tahun ini juga ditambah sebanyak RM1 juta daripada RM6 juta pada tahun sebelumnya.

"Saya tahu, pendidikan adalah perkara penting dan paling dekat di hati rakan kaum Cina kita dan sebab itulah, kerajaan negeri terus memberi bantuan kepada sekolah-sekolah Cina.

"Jika tahun lalu sebanyak RM6 juta diperuntukkan, tahun ini kita tambah lagi RM1 juta kepada RM7 juta," katanya pada majlis Tahun Baharu Cina 2018 dan Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-39 Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian di sini, malam tadi.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Perdagangan Datuk Seri Wong Soon Koh; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Sim Kui Hian dan Pengarah Urusan juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTS, Datuk Henry Lau.

Abang Johari berkata, sumbangan kepada sekolah Cina itu adalah sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri terhadap sumbangan komuniti berkenaan dalam memberi idea dan sokongan kepada kerajaan.

"Ini sekali gus membantu kita mewujudkan dasar baharu kepada semua rakyat termasuk kaum Cina," katanya.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian, Datuk Richard Wee mahukan masyarakat Cina terus bersama-sama dengan kaum lain di Sarawak dalam menyokong kerajaan.

Katanya, ia khususnya membabitkan ahli Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Bersatu (UPP), yang bertelagah tanpa berkesudahan sehingga melemahkan penyertaan orang Cina dalam kerajaan negeri.

"Jika UPP kembali kepada SUPP, ia pasti akan menguatkan sokongan daripada masyarakat Cina, sekali gus menjadi anggota yang lebih berkesan dalam kerajaan negeri dan Barisan Nasional (BN) negeri.

"Dari sudut lain, juga amat penting bahawa kepulangan UPP ke dalam SUPP diterima dengan sepenuh hati oleh kepemimpinan SUPP dan ahlinya," katanya.

270 dibaca
Berita Harian X