;
Selasa, 20 Februari 2018 | 4:31pm
BEKAS Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi (empat dari kiri) bersama Datuk Seri Idris Jusoh (lima dari kiri), Tun Jeanne Abdullah (tiga dari kiri), Datuk Dr Mary Yap Kain Ching (kiri) dan Tan Sri Sufri Mohd Zain (dua dari kiri) merasmikan TRC Edu Center di Politeknik Ungku Omar, Ipoh. - Foto Abdullah Yusof

Kadar kebolehpasaran graduan meningkat

IPOH: Kerjasama erat antara Kementerian Pendidikan Tinggi dan industri berperanan penting memastikan peningkatan peratus kebolehpasaran graduan di negara ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata hal itu terbukti dengan kadar purata kebolehpasaran graduan meningkat sebanyak 1.8 peratus kepada 79.1 peratus pada tahun lalu, berbanding 77.3 peratus tahun 2016.

Katanya, kadar purata kebolehpasaran graduan di institusi pengajian tinggi di negara ini meningkat sebanyak empat peratus bagi tempoh empat tahun mulai 2014 hingga 2017.

"Graduan latihan teknikal dan pendidikan vokasional (TVET) turut menunjukkan peningkatan kebolehpasaran memberangsangkan dengan graduan Politeknik sebanyak 94.5 peratus tahun lalu, berbanding 88.6 peratus pada 2016," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran TRC Edu Centre di Politeknik Ungku Omar (PUO) di sini, hari ini.

TRC Edu Centre adalah sebuah pusat industri-akademia hasil kerjasama antara POU, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Trans Resources Corporation Sdn Bhd (TRC) bagi mencapai misi Kementerian Pendidikan Tinggi iaitu 'Industry and Academia Are One'.

Turut hadir, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi; Ahli Lembaga Pengarah TRC, Tun Jeanne Abdullah; Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Mary Yap Kain Ching dan Pengarah Urusan Kumpulan TRC, Tan Sri Sufri Mohd Zin.

Idris berkata, kewujudan dua entiti berkenaan saling melengkapi untuk memastikan graduan yang dilahirkan nanti dapat memenuhi keperluan industri.

"Kementerian sangat komited untuk membantu graduan di negara ini dengan memperkenalkan pelbagai program dan juga melalui kerjasama dengan industri.

"Antara program yang sudah diperkenalkan adalah program belajar sambil bekerja (2U2i) di mana dua tahun proses pembelajaran dalam universiti dan dua tahun menimba pengalaman industri," katanya.

Idris berkata, dengan memperkenalkan program berkenaan ia dapat meningkatkan kebolehpasaran, persediaan dan kemahiran pelajar universiti memasuki alam pekerjaan.

"Selain program 2u2i, program TRC Edu Centre juga turut memberi peluang keemasan kepada pelajar untuk menimba pengalaman secara praktikal dalam bidang pembinaan.

"TRC akan mengambil 30 pelajar dari PUO setahun bagi menjalani latihan industri selama 10 bulan," katanya.

Idris berkata, kementerian akan meningkatkan usaha untuk memastikan kadar kebolehpasaran graduan terus meningkat dengan mewujudkan pelbagai bentuk program dan kolaborasi dengan industri pada masa akan datang.

702 dibaca
Berita Harian X