Ahad, 18 Februari 2018 | 4:34pm
DATUK Seri Mahdzir Khalid (dua, kiri) menyampaikan sumbangan kepada murid-murid pada Majlis Jelajah Ziarah Kasih Bikers Guru di Sekolah Kebangsaan Padang Terap hari ini.- Foto BERNAMA

Lahir hufaz cemerlang, berkemahiran

PADANG TERAP: Kementerian Pendidikan menyambut baik keputusan kerajaan untuk menubuhkan sekolah tahfiz, yang memberi peluang akademik dan kemahiran kepada pelajarnya.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata penubuhan sekolah itu dapat membantu pelajar tahfiz untuk cemerlang dalam subjek hafazan serta akademik, selain dapat melengkapkan diri dengan kemahiran tertentu.

Mahdzir berkata, cadangan itu dibuat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika mempengerusikan satu mesyuarat jawatankuasa peringkat tertinggi mengenai sekolah tahfiz, baru-baru ini.

"Sekolah itu bakal dibina di Bagan Datuk, Perak. Setakat ini, kita belum ada perincian berkaitan cadangan berkenaan.

"Di pihak kementerian, kita ada cukup guru untuk ditempatkan di situ. Kita juga bersedia untuk mengkaji bentuk silibus dan program kemahiran yang sesuai untuk diperkenalkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meraikan konvoi 'Bikers Guru' dari seluruh negara di Sekolah Kebangsaan Padang Terap, di sini, hari ini.

Seramai 200 guru dengan motosikal berkuasa tinggi menyertai konvoi menjelajah Semenanjung dan selatan Thailand.

Mahdzir berkata, ketika ini, pelajar tahfiz hanya memiliki kemahiran dalam hafazan dan ia menyukarkan mereka untuk memperolehi pekerjaan kerana tidak memiliki sebarang sijil akademik.

Dengan wujudnya sekolah terbabit, pelajar tahfiz berpeluang untuk mempelajari akademik atau kemahiran serta memiliki sijil bagi membolehkan mereka mampu bersaing dalam pasaran pekerjaan pada era globalisasi.

Mengambil contoh sekolah Ulul Albab yang menawarkan subjek sains dan hafazan kepada pelajar, Mahdzir yakin sekolah yang bakal ditubuhkan itu berupaya melahir hufaz yang berkemahiran.

"Mungkin kita dapat melahirkan hufaz yang memiliki kemahiran memasak atau kemahiran lain yang mereka boleh guna untuk menghadapi cabaran dalam memajukan diri," katanya.

312 dibaca
Berita Harian X