Selasa, 24 Oktober 2017 | 4:39pm
DATUK Nik Ali Mat Yunus (dua kanan) bersama Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Datuk Dr Mortaza Mohamed (kanan) merasmikan Minggu Penyelidikan dan Inovasi UMK serta Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Jeli.- Foto Mohamed Sahidi Yusoff

UMK meterai MoU dengan lima syarikat

JELI: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan lima syarikat tempatan membabitkan aspek penyelidikan, inovasi dan komersial.

Perjanjian itu disaksikan Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Nik Ali Mat Yunus sempena Minggu Penyelidikan dan Inovasi UMK serta Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di UMK Jeli, di sini, hari ini.

Ia juga membabitkan Syarikat Darulnaim Agro Management Sdn Bhd, Syarikat D&Y Coldchain Ventures, Platcom Sdn Bhd, UMK Business Ventures dan Isuzu Malaysia Sdn Bhd.

Yang turut hadir, Naib Canselor UMK, Prof Datuk Dr Mortaza Mohamed; Ahli Lembaga Pengarah UMK, Zulkefli Mohd Zain dan Ketua Penolong Pengarah Sains Jabatan Pendidikan Kelantan, Wan Mohamed Zuri Wan Abdullah.

Mortaza berkata, 10 hasil produk penyelidikan dan inovasi UMK sudah dikenal pasti untuk diketengahkan bersama syarikat berkenaan.

"Bidang itu termasuk ternakan ikan patin jeli, penghasilan tisu kultur pisang dan serbuk bagi menghasilkan nasi kerabu segera, makanan tambahan berasaskan spirulina, makanan ikan primek, bahan pencuci berasaskan sisa agro dan tumbuhan terbuang.

"Kita yakin produk penyelidikan boleh dikomersialkan sekali gus menjana pendapatan," katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Nik Ali menyifatkan hasil produk penyelidikan dan inovasi UMK adalah sesuatu pencapaian yang luar biasa, walaupun baharu 10 tahun dalam bidang ini.

"Bidang penyelidikan dan inovasi adalah kekuatan baharu untuk kepentingan pembangunan masyarakat dan negara pada masa depan," katanya.

423 dibaca
Berita Harian X