Ahad, 6 Mei 2018 | 7:33pm
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan pada majlis pemimpin bersama rakyat Parlimen Seremban di Dewan Orang Ramai Taman Dusun Nyior, Seremban. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Sokong calon BN jangan kira bangsa

SEREMBAN: Pemimpin dan ahli parti komponen Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya menyokong calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tanpa membezakan latar belakang kaum mereka.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata BN menjadi kuat selama ini disebabkan kesepakatan semua parti komponen, bukan disebabkan sebuah parti semata-mata.

Mengambil contoh kerusi Parlimen Seremban yang ditandingi oleh calon MCA, Datuk Chong Sin Woon, Ahmad Zahid berkata, semua pihak perlu membantu Ketua Pemuda MCA itu yang mempunyai potensi menjadi menteri untuk menang.

"Di tempat (kerusi) UMNO, parti komponen lain bantu, jadi kebetulan di sini (Parlimen Seremban) calonnya adalah Cina yang bertanding. Jangan kita biarkan calon MCA ini seorang diri.

"Berdasarkan laporan diterima, BN ada peluang cukup besar untuk menang di Parlimen Seremban. Ketepikan perbezaan dalam kalangan kita. Semua parti komponen, mari kita bantu demi kemenangan BN" katanya ketika berucap pada majlis pemimpin bersama rakyat Parlimen Seremban di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Sin Woon serta calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, Ampangan, Temiang, Nilai, Lobak dan Lenggeng.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut meluluskan pembinaan masjid baharu bernilai RM5 juta di Bandar Warisan Puteri di Sikamat di sini.

Menurut Ahmad Zahid berkata, semangat dan kesepakatan BN adalah elemen penting yang cuba ditiru pakatan pembangkang namun sukar untuk berjaya kerana masing-masing hanya mempunyai persetujuan sementara dan tiada kepercayaan sesama sendiri.

Beliau berkata, pembangkang kelihatan hebat kerana mengambil kesempatan dalam penggunaan media sosial yang menunjukkan seolah-olah mereka kuat, sedangkan realitinya BN mempunyai lebih ramai penyokong di semua peringkat yang lebih selesa tidak menonjolkan diri.

Sementara itu, Mohamad yang juga Menteri Besar, berkata yakin untuk menghadiahkan tujuh kerusi Parlimen termasuk merampas Parlimen Seremban dan Port Dickson daripada pembangkang selain mempertahankan lima kerusi yang dimenangi pada PRU-13.

419 dibaca
Berita Harian X