Jumaat, 6 April 2018 | 4:25pm
DATUK Seri SK Devamany. - Foto Supian Ahmad

MIC buat persiapan dua tahun hadapi PRU14

KUALA LUMPUR: Persiapan sejak dua tahun lalu menjadi kekuatan MIC dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Naib Presiden MIC, Datuk Seri SK Devamany berkata, pembubaran Parlimen yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib

Tun Razak, hari ini hanya sebagai satu prosedur menuju PRU14 dan tidak timbul perasaan gementar dalam kalangan ahli partinya.

"Sehingga kini ahli MIC tidak putus menghadiri pelbagai program latihan kepimpinan supaya perkhidmatan yang lebih baik dapat diberikan kepada rakyat.

"MIC bukan saja komited dalam menunaikan janji kepada rakyat, malah pelbagai program transformasi baru dilaksanakan untuk menaikkan taraf hidup rakyat," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Devamany berkata, melalui pembahagian kerusi, MIC masih mengekalkan sembilan kerusi di Parlimen dan 19 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Selepas perbincangan bersama pemimpin atasan, mereka bersetuju untuk mengekalkan kerusi ditandingi MIC sebelum ini.

"Namun, kita juga ada memohon beberapa penambahan kerusi bagi calon MIC di beberapa kawasan yang dirasakan sesuai," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda MIC, Datuk Sivarraajh Chandran meramalkan terdapat tindakan panik daripada parti pembangkang menjelang PRU14 bagi meraih undi.

"Parti pembangkang pasti akan panik meraih undi daripada rakyat kerana terbukti kerajaan kini berjaya membangunkan negara," katanya.

Katanya lagi, beliau yakin kerajaan kini akan mengekalkan kedudukannya berikutan pengundi yang semakin matang dalam memilih pemimpin yang mampu menaikkan taraf hidup rakyat secara holistik.

251 dibaca
Berita Harian X