Selasa, 13 March 2018 | 11:51pm
Timbalan Pengarah (Risikan dan Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Kang Chez Chiang. - Foto Azhar Ramli

PDRM, DEA Amerika Syarikat bekerjasama perangi dadah

KUALA LUMPUR: Persidangan Penguatkuasaan Dadah Antarabangsa - Kumpulan Kerja Rantau Timur Jauh (IDEC-FERWG) Ke-35 di ibu negara yang bermula hari ini, memfokuskan perbincangan langkah untuk menangani ancaman baharu berkaitan penyeludupan dan pengedaran dadah di rantau ini.

Ini termasuk menjadi platform perkongsian maklumat semua 17 negara peserta persidangan itu berhubung perkembangan siasatan semasa dan terkini yang dijalankan agensi penguatkuasaan di negara masing-masing membabitkan jenayah dadah.

Timbalan Pengarah (Risikan dan Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Kang Chez Chiang, berkata persidangan turut membincangkan trend penyeludupan dadah global, kerjasama antara sesama agensi penguatkuasaan negara peserta serta menyelaras kerja ketika melakukan operasi bersama.

"Semua negara yang mengambil bahagian akan menyediakan satu kertas kerja yang disampaikan kepada persidangan penuh IDEC di Rotterdam, Belanda, April depan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Persidangan dua hari itu adalah kali kedua dianjurkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Dadah Amerika Syarikat (DEA) dan disertai 78 wakil dari 17 negara termasuk Australia, Kemboja, China, Hong Kong, Indonesia dan Jepun.

Persidangan dipengerusikan bersama oleh Chez Chiang dan Pengarah DEA Rantau Timur Jauh, Jesse R Fong.

368 dibaca
Berita Harian X