;
Selasa, 13 March 2018 | 8:16pm
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Padang Awam Taman Satria, Senawang, Negeri Sembilan. - Foto Iqmal Haqim Rosman

TPM tegur pemimpin BN

SEREMBAN: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegur pemimpin parti komponen BN yang tidak memberi sokongan dalam sebarang program bersama rakyat dianjurkan parti itu.

Zahid meluahkan kekecewaan itu apabila ada pemimpin atau calon parti komponen BN tidak hadir pada program dianjurkan sedangkan beliau sendiri meluangkan masa menghadiri program dan bertemu rakyat.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri menyifatkan sikap itu memberi gambaran buruk kepada parti, terutama ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan diadakan pada bila-bila masa.

"Tolong tunjuk muka di sini (Parlimen Rembau) walaupun kita beri kerusi bertanding di tempat lain. Bantu calon kita, kerusi hendak tetapi program tidak hadir.

"Anda perlu tunjukkan hormat kepada kerusi ditandingi, jangan beri alasan sibuk. Saya mahu rekod cemerlang (Negeri Sembilan) diperoleh (PRU-14)," katanya berucap pada Program Bersama Rakyat di Padang Awam Taman Satria, di sini, hari ini.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi melaungkan hidup Barisan Nasional ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Padang Awam Taman Satria, Senawang, Negeri Sembilan Turut bersama Menteri Besar Negeri Sembilan. - Foto Hazreen Mohamad

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Program berkenaan dihadiri kira-kira 6,000 penduduk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi dan kawasan berdekatan.

Zahid membuat teguran itu selepas mendapati tiada pemimpin MCA hadir pada program berkenaan dianjurkan rakyat DUN Paroi, sedangkan pemimpin MIC dilihat hadir.

Untuk rekod, kerusi Parlimen Rembau dan empat DUN termasuk Paroi dalam kawasan Parlimen itu semuanya ditandingi UMNO.

Zahid turut memberitahu beliau yakin dapat merampas semula kerusi Parlimen Teluk Kemang dan Seremban daripada pembangkang jika pemimpin dicalonkan menunjukkan komitmen penuh.

2887 dibaca
Berita Harian X