;
Selasa, 13 March 2018 | 7:39pm
JENAZAH Allahyarham Pengarah Urusan Kumpulan Bina Darulaman Berhad, Datuk Izham Yusoff selamat di sembahyangkan di Masjid Jamek Kampung Baru . - Foto Mohd Yusni Ariffin

Jenazah Izham selamat dikebumikan

KUALA LUMPUR: Jenazah Pengarah Urusan Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB), Datuk Izham Yusoff, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini, kira-kira jam 6.30 petang tadi.

Majlis pengebumian dihadiri anggota keluarga, saudara-mara dan rakan terdekat.

Terdahulu selepas prosiding bedah siasat di Hospital Kuala Lumpur (HKL), jenazah dibawa ke Masjid Kampung Baru untuk dikafan dan disembahyangkan, sebelum dibawa ke Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail, untuk solat jenazah akhir.

Izham, 50, disahkan meninggal dunia pada jam 8.04 pagi tadi di Hospital Pantai di sini, selepas dikatakan sesak nafas ketika berjoging di sebuah taman rekreasi di ibu negara.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Joani Sofina Othman, 49, dan sepasang anak lelaki dan perempuan.

Beliau dilantik sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bebas BDB pada Ogos 2013 dan kemudian menyandang jawatan Pengarah Eksekutif Bukan Bebas pada Februari 2014.

Allahyarham turut menjadi Ahli Lembaga Panel Pelaburan Tabung Haji pada 1 Oktober tahun lalu.

Sebelum berkhidmat dengan Kumpulan BDB, beliau adalah Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Percetakan Nasional Malaysia Berhad dari Februari 2010 hingga Januari 2014.

Allahyarham juga pernah menyandang beberapa jawatan lain, termasuk Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi Ninebio Sdn Bhd (2007-2010) serta Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif KUB Malaysia Berhad (2004 - 2007).

8613 dibaca
Berita Harian X