Selasa, 27 Februari 2018 | 7:05pm
MUSA mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB), di Kota Kinabalu. Hadir sama Masidi Manjun (kanan). - Foto Edmund Samunting

Dana RM600 juta perkasa usahawan Bumiputera Sabah

KOTA KINABALU: Lebih RM600 juta dana dan kemudahan pembiayaan diperuntukkan bagi memperkasakan pembangunan serta kesejahteraan usahawan Bumiputera di Sabah, tahun ini.

Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, berkata ini membabitkan dua dana khas baharu bagi usahawan Bumiputera Sabah memacu projek pelaburan swasta berasaskan pertanian dan agro-pelancongan, selain projek Lebuhraya Pan Borneo.

"Hari ini kerajaan negeri dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) selepas mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) sebulat suara meluluskan satu dana khas berjumlah RM100 juta bagi usahawan Bumiputera memacu projek pelaburan berasaskan pertanian dan agro-pelancongan di negeri ini.

"Sebanyak RM500 juta lagi membabitkan kemudahan pembiayaan dan jaminan kewangan untuk kontraktor Bumiputera yang terbabit membangunkan Projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan surat tawaran dan cek replika program di bawah inisiatif TERAJU selepas mempengerusikan mesyuarat MEB di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun dan Ketua Pegawai Eksekutif, TERAJU, Datuk Husni Salleh.

Musa yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata bagi dana khas pelancongan dan agro pertanian, inisiatif itu adalah kerjasama strategik antara TERAJU dan Agrobank Berhad.

"Usaha ini sejajar harapan saya agar industri pelancongan Sabah akan menerajui dan menjadi penanda aras kepada pembangunan agro-pelancongan negara.

"Dana khas pembangunan Lebuhraya Pan Borneo pula dijangka membantu 50 syarikat kontraktor Bumiputera Kelas G1 hingga G4 Bumiputera," katanya.

Musa turut menyampaikan Dana Mudahcara kepada lapan syarikat Bumiputera di Sabah yang sudah menyiapkan projek mereka, manakala sembilan lagi syarikat menerima surat kelulusan bagi projek yang baru diluluskan dan akan mula dibangunkan tidak lama lagi.

"Semua projek ini membabitkan kelulusan dana sebanyak RM38 juta dan merangkumi pelbagai pelaburan swasta dalam sektor pembangunan hartanah, pembinaan infrastruktur, tenaga dan solar, pembuatan, pertanian, pembangunan berasaskan eko-pelancongan dan pelancongan," katanya.

Sementara itu, Musa berkata, seramai 38 usahawan Sabah menerima suntikan dana antara RM50,000 sehingga RM100,000 seorang untuk mengembangkan perniagaan dan meluaskan premis perniagaan di bawah Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB).

Katanya, secara keseluruhan sejumlah RM169.96 juta menerusi program Dana Mudahcara sudah diluluskan bagi 69 projek di Sabah dan berjaya menjana nilai pelaburan swasta sebanyak RM1.25 bilion.

964 dibaca
Berita Harian X