Selasa, 14 November 2017 | 5:59pm
PENGERUSI NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye menyaksikan penyerahan replika BOSH yang Keenam daripada Pengurus NIOSH Sabah dan Labuan, Mohd Hussin Abd Salam (kiri) kepada Pengurus NIOSH Wilayah Sarawak, Mohamad Anizan Mohammed Amin pada Majlis Penutupan Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Borneo Kelima (BOSH 2017) di Hotel Hilton, Kota Kinabalu. - Foto Izhari Ariffin

Tekanan perasaan punca kemalangan pekerja

KOTA KINABALU: Majikan perlu mengambil kira aspek

tekanan perasaan pekerja apabila membangunkan sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) dalam organisasi masing-masing.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata ini kerana tekanan perasaan atau risiko psikososial memberi kesan kepada keselamatan di tempat kerja.

Beliau berkata, pengurusan tekanan dan risiko psikososial yang baik di tempat kerja akan mewujudkan persekitaran kerja yang sihat.

"Pekerja berasa dihargai dan budaya kerja pula lebih positif, sekali gus meningkatkan produktiviti dan prestasi organisasi.

"Walaupun ada banyak faktor penyumbang kepada masalah kesihatan mental pekerja, terdapat bukti bahawa persekitaran tempat kerja antara penyebab utama.

"Jika risiko ini diabaikan, kita bakal berdepan dengan akibatnya kerana kajian menunjukkan ia antara penyebab kemalangan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Borneo Kelima (BOSH 2017), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus NIOSH Sabah dan Labuan, Mohd Hussin Abd Salam serta Pengurus NIOSH Sarawak, Mohd Anizan Mohd Amin.

Lam Thye berkata, sebanyak lima kategori bahaya kesihatan dikenal pasti berlaku di tempat kerja iaitu fizikal, kimia, biologi, ergonomik dan psikososial, yang antaranya membabitkan masalah tekanan perasaan.

Mengulas lanjut beliau berkata, majikan perlu sedar bahawa pengabaian aspek kesihatan mental dan psikososial di tempat kerja bukan saja menjejaskan pekerja tetapi juga memberikan kesan langsung kepada produktiviti dan kecekapan organisasi.

Katanya, prestasi pekerja, kekerapan mengambil cuti sakit, ketidakhadiran, kemalangan dan kadar berhenti kakitangan juga bergantung kepada status kesihatan mental di tempat kerja.

"Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 menunjukkan kira- kira 4.2 juta rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas atau 29.2 peratus penduduk, mengalami pelbagai masalah mental.

"Perangkaan itu memberi gambaran yang membimbangkan kerana menunjukkan peningkatan sebanyak 11.2 peratus berbanding rekod yang dilaporkan pada tahun 2006," katanya.

Beliau berkata, NIOSH memperkenalkan program Promosi Kesihatan dan Kesejahteraan Menyeluruh (TWHP) sejak tahun 2003 untuk melahirkan tenaga kerja yang mampan dan sihat di negara ini.

Antara lain, katanya, TWHP menyediakan program sistematik untuk membantu pihak industri mencegah penyakit tidak berjangkit (NCD), termasuk tekanan perasaan dan penyakit mental.

725 dibaca
Berita Harian X