Isnin, 30 Oktober 2017 | 1:07pm
TAN Sri Lim Lam Thye. - Foto Muhammad Mikail Ong

Buku garis panduan sekolah tahfiz akan diperkenal

BANGI: Institut Keselamatan dan kesihatan pekerjaan Negara (NIOSH) akan memperkenalkan buku garis panduan sebagai persediaan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) bagi rujukan sekolah tahfiz seluruh negara, hujung tahun ini.

Buku itu memperincikan mengenai kajian pelbagai aspek termasuk usaha pihaknya turun padang melihat struktur bangunan sekolah tahfiz serta konsep pengenalpastian bahaya, penilaian risiko dan kawalan risiko (HIRARC).

Pengerusi NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata penerbitan buku itu adalah satu tanggungjawab sosial korporat institusinya dalam menjalankan kempen berterusan membantu pengurusan sekolah tahfiz dalam meningkatkan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

"Projek perintis ini bermula di Selangor dengan kerjasama dengan Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran (PINTA) Selangor dan akan diperluaskan ke seluruh negara, turut membabitkan Jabatan Pendidikan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta badan bukan kerajaan (NGO) lain.

"Bermula Oktober, NIOSH sudah membuat lawatan ke lima sekolah tahfiz bagi mendapatkan input pentadbiran serta pelaksanaan program keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang meliputi Darul Quran, Kuala Kubu Baru; Maahad Tahfiz Al Taqwa, Sungai Buloh; Maahad Tahfiz Ummul Qura', Sabak Bernam; Maahad Tahfiz Nurul Huda, Shah Alam dan Akademi Tahfiz Al-Falah, Rawang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Untuk Sekolah Tahfiz (OSH For Tahfiz) peringkat Selangor di Ibu Pejabat NIOSH, di sini, hari ini.

Seminar sehari anjuran NIOSH dengan kerjasama PINTA Selangor dihadiri 89 wakil sekolah tahfiz Selangor dengan tujuan untuk menyebarkan maklumat dalam meningkatkan kesedaran terhadap isu keselamatan dan kesihatan di tempat kerja dan tanggungjawab pekerja serta majikan mengatasi sebarang kemalangan.

Yang turut hadir, Pengerusi PINTA Selangor, Mohd Dailami Che Age dan Pengarah Eksekutif NIOSH, Zahrim Osman.

Lam Thye berkata, NIOSH juga menubuhkan pasukan khasnya pada bulan lalu bagi membantu sekolah tahfiz yang bertujuan memantau dan meningkatkan keselamatan dan kesihatan pekerjaan kerana sekolah bukan saja mempunyai murid, tetapi guru sebagai kakitangan.

"Semua tempat kerja mempunyai bahaya dan risiko yang perlu diambil perhatian dan menjadi tanggungjawab mereka di tempat kerja, termasuk di sekolah tahfiz untuk mengenal pasti bahaya dan mengambil langkah keselamatan mencegah kemalangan atau kematian.

"NIOSH mengorak langkah mengadakan kempen kesedaran sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di sekolah tahfiz di seluruh negara susulan tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat, September lalu," katanya

Beliau berkata, program OSH for Tahfiz itu berpandukan program OSH in School yang dilaksanakan NIOSH dengan Kementerian Pendidikan sejak 2015.

"Pelaksanaan OSH for Tahfiz adalah konsep lebih menyeluruh kerana menganggap sekolah tahfiz sebagai tempat kerja dan tertakluk mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA 1994)," katanya.

600 dibaca
Berita Harian X