Khamis, 15 Februari 2018 | 12:27am
LOKASI kejadian ibu secara tidak sengaja menyeret anak lelakinya sehingga maut di Taman Rinting, Masai.

Anak 3 tahun maut diseret kereta ibu

PASIR GUDANG: Kepiluan seorang ibu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata apabila kereta yang dipandunya secara tidak sengaja menyeret anak lelaki bongsunya yang berusia tiga tahun hingga mengakibatkan kanak-kakak berkenaan maut di Jalan Ketapang, Taman Rinting, Masai di sini.

Rakan keluarga itu yang enggan dikenali berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari, apabila kereta yang dipandu wanita itu bergerak dari rumah keluarga untuk berniaga makanan ringan berhampiran sebuah sekolah.

Menurutnya, ibu mangsa berusia 30-an menjangka anak bongsunya daripada lima beradik berada di dalam rumah.

Katanya, ketika kejadian bapa mangsa turut berada di rumah.

"Ibu mangsa yang memandu PERODUA Alza hanya menyedari kejadian selepas memandu lebih 10 meter ke hadapan.

"Apabila ibu mangsa turun dari kenderaan kerana menjangka terdapat objek yang tersangkut, dia terkejut mendapati anak bongsu berada di bawah bumper hadapan.

"Mangsa dikejarkan ke Hospital Penawar Pasir Gudang, namun amat menyayatkan hati apabila anaknya itu tidak dapat diselamatkan.

"Ibu mangsa pilu dengan apa yang berlaku dan sebagai wanita dan rakan wanita berkenaan saya dapat merasakan perasaan kepiluan dan trauma dialaminya," katanya.

Sementara itu, ibu mangsa berkata, dia pada awalnya menjangka kenderaannya menyeret sampah yang tersangkut di bahagian bumper.

Menurutnya, dia terkejut mendapati anaknya berada di bawah bumper dalam keadaan tidak bermaya.

"Saya masih keliru dengan apa yang berlaku kerana ketika keluar, anak masih di dalam kawasan rumah," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, suasana pilu menyelubungi perkarangan Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) pada petang tadi apabila ibu mangsa turut membawa bekalan susu yang biasa dibancuh untuk mangsa.

Malah beberapa kenalan keluarga mangsa juga hadir ke Jabatan Forensik bagi memberi sokongan moral kepada ibu mangsa supaya tabah menghadapi dugaan berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Deputi Superintendan Norazam Shaari mengesahkan kejadian berkenaan.

"Ketika ibu mangsa memandu bergerak dari rumah, dia merasakan sesuatu berada di bawah bumper kenderaannya.

"Apabila wanita berkenaan turun dari kenderaan mendapati anak bongsu berada di bawah bumper hadapan.

"Mangsa dibawa ke Hospital Penawar Pasir Gudang untuk mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia," katanya ketika dihubungi.

11508 dibaca
Berita Harian X