;
Rabu, 14 Februari 2018 | 11:34pm
ANGGOTA Bomba mengangkat mayat seorang warga emas yang juga orang kurang upaya yang rentung dalam kebakaran di sebuah rumah di Batu 4, Pida 8 Baru Jalan Sanglang, Kodiang malam tadi. - Foto Ihsan Bomba

Warga emas OKU rentung dalam kebakaran

JERLUN: Seorang lelaki warga emas yang juga orang kurang upaya (OKU) rentung apabila rumahnya di Pida 8 Baru, Jalan Sanglang - Kodiang musnah dalam kebakaran, malam tadi.

Mayat Salleh Arifin, 63, ditemui oleh anggota bomba yang menjalankan pemeriksaan di kediaman mangsa selepas selesai memadamkan kebakaran.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Mohamad Mustakim Mokhtar, berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 8.51 malam.

Menurutnya, jentera Pasukan Bomba Sukarela Lana Bulu dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Arau tiba di lokasi dalam tempoh sembilan minit, disusuli oleh anggota dari balai Jitra.

"Pihak bomba berjaya mengawal api sekita jam 9.28 malam, namun hampir 90 kediaman mangsa telah musnah dalam kebakaran tersebut.

"Ketika menjalankan pemeriksaan di lokasi selepas selesai urusan memadam kebakaran, pihak bomba telah menemui mayat mangsa, yang tinggal bersendirian di rumah berkenaan, dalam keadaan rentung," katanya dalam kenyataan media.

Siasatan sedang dijalankan bagi mengetahui punca kebakaran.

394 dibaca
Berita Harian X