;
Selasa, 13 Februari 2018 | 11:26pm
Ahli keluarga sayu dan pilu di pusara Nur Afini Roslan, 14, yang meninggal dunia akibat terkena bilah pisau sebuah traktor mesin rumput di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Rahman, selamat dikebumikan di Tanah perkuburan Pusara Damai, Felda Sungai Kelamah. - Foto Adzlan Sidek

Nur Afini ingin jadi atlet hebat - Rabuan Pit

TAMPIN: "Arwah pernah bertanya saya cara untuk menjadi atlet terbaik. Semangatnya dalam sukan akan sentiasa diingati."

Demikian kata bekas pelari pecut negara, Datuk Rabuan Pit, mengenai cucu saudaranya, Nur Afini Roslan, 14 yang maut terkena bilah pisau mesin pemotong rumput di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Rahman, Gemas, di sini, pagi tadi.

Rabuan berkata, pertanyaan itu disuarakan arwah ketika kali terakhir mereka bertemu pada sambutan Aidilfitri, tahun lalu.

"Arwah panggil saya Pak Wan dan selalu bertanya macam mana nak berlari laju. Dia kata nak jadi seperti Pak Wan, termasuk bergelar anggota polis," katanya.


Ahli keluarga yang juga merupakan bekas atlet negara, Datuk Rabuan Pit turut hadir ke majlis pengebumian mangsa, Nur Afini Roslan, 14 di Tanah perkuburan Pusara Damai, Felda Sungai Kelamah. - Foto Adzlan Sidek

Beliau ditemui ketika menghadiri majlis pengebumian arwah di Tanah Perkuburan Islam Kampung FELDA Kelamah, di sini, malam ini.

Sementara itu, bapa Nur Afini, Roslan Samat, 55, berkata, beliau sekeluarga reda dengan kejadian berkenaan dan menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak polis serta sekolah.

"Saya terima ketentuan Allah SWT dan berserah kepada takdir-Nya. Saya mengucapkan penghargaan terhadap semua pihak yang membantu sehingga jenazah dikebumikan," katanya.

Roslan berkata, anaknya aktif dalam sukan memanah sejak berusia 10 tahun.

Katanya, anak keempat daripada lima beradik itu mewakili Pahang dalam sukan berkenaan sebelum berpindah ke daerahitu, bulan lalu.

"Saya baru bercadang mendaftarkan arwah sebagai atlet memanah Negeri Sembilan dan tidak menyangka kejadian ini berlaku," katanya.

26543 dibaca
Berita Harian X