;
Rabu, 7 Februari 2018 | 1:06pm

Sofi Jikan direman 3 hari

PETALING JAYA: Pelakon filem KL Gangster, Sofi Jikan ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini untuk membantu siasatan selepas didapati positif dadah jenis ganja.

Perintah reman tiga hari berakhir Jumaat dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Hairul Azhar Mohd Ishak terhadap pelakon berusia 48 tahun yang terkenal dengan dialog 'kasi sengat'.

Pelakon itu disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya serta perintah pengawasan sehingga tiga tahun.

"Alhamdulillah syukur...pengalaman yang amat menarik," katanya sebaik beliau ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini untuk membantu siasatan selepas didapati positif dadah jenis ganja.

Sofi Jikan atau nama sebenarnya Mohamad Shoffi Jikan, 48, berkata, beliau rasa bahagia kerana mendapat 'team' (kumpulan) yang baik.

"Guys...Malaysia is wonderful (Kepada semua, Malaysia menakjubkan) ," katanya ketika disoal pemberita sebelum dibawa pegawai penyiasat kes dan beberapa anggota polis.

Terdahulu, Sofi Jikan yang memakai baju lokap berwarna jingga tiba di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya jam 9.03 pagi sebelum dibawa masuk ke bilik reman pada jam 11.25 pagi.

Suspek yang diiringi anggota polis keluar dari bilik reman 30 minit kemudian.

Pelakon yang terkenal dengan watak antagonis itu diberkas di Balai Polis Mutiara Damansara jam 11 malam semalam ketika hadir untuk memberi keterangan berhubung dua laporan polis yang dibuat pelakon Datuk Farid Kamil Zahari, 37, pada 31 Januari lalu.

Dalam laporan polis itu, Farid didakwa mendedahkan tiga rakan artisnya yang juga dalang di sebalik meletakkan dadah dalam minumannya.

Pada 16 Januari lalu, Farid Kamil didakwa di Mahkamah Majistret di sini, atas empat pertuduhan iaitu dua tuduhan menyebabkan kecederaan, berkelakuan tidak senonoh dan mengganggu penjawat awam di Balai Polis Trafik Kota Damansara.

Manakala pada 25 Januari lalu, Farid Kamil mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret sama, atas pertuduhan mengambil dadah jenis jenis 11-nor-delta-9-tetrahydro cannabinol-9-carboxylic acid (THC).

Semalam, Sofi Jikan ditahan selepas dipanggil untuk memberi keterangan mengenai kes penyalahgunaan dadah bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, suspek ditahan selepas hadir di balai polis untuk memberi keterangan berhubung laporan polis dibuat Farid Kamil pada 31 Januari lalu.

"Ujian air kencing secara rawak dijalankan terhadap suspek mendapati dia positif.

"Kita menahan dia jam 11 malam (semalam) selepas suspek memberi keterangan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

8294 dibaca
SOFI Jikan (tengah) ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini untuk membantu siasatan selepas didapati positif dadah jenis ganja. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Berita Harian X