Sabtu, 9 Disember 2017 | 3:23pm
KETUA Pengarang The Malaysian Insight (TMI), Jahabar Saddiq

Terserah kepada SKMM untuk siasat TMI

KUALA LUMPUR: The Malaysian Insight (TMI) menyerahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sekiranya mahu menyiasat portal berita itu berhubung dakwaan laporan berita yang menghina kerajaan dan pemimpin negara.

Ketua Pengarang The Malaysian Insight (TMI), Jahabar Saddiq, berkata perkara itu terpulang kepada SKMM kerana itu hak suruhanjaya berkenaan.

Mengulas kenyataan seorang pembahas pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 hari ini, yang mendakwa portal itu menghina pemimpin negara dan kerajaan, selain menggesa pihak berwajib menyiasat Puan Sri Faridah Begum K A Abdul Kader, yang didakwa sebagai pemilik TMI, beliau berkata:

"Saya tidak ada apa-apa komen lanjut berhubung isu ini kerana perwakilan UMNO yang mendakwa TMI membuat berita yang menghina pemimpin negara tidak menyatakan secara spesifik apakah kesalahan yang kami lakukan.

"Kecuali dia maklumkan secara spesifik apakah berita yang dilaporkan itu, bolehlah kami memberi komen," katanya yang juga adik kepada Faridah Begum.

Faridah Begum adalah isteri kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Ketika perbahasan usul agama dan pendidikan, Wakil Pulau Pinang, Mohd Nashrol Hisham Abdullah, menggesa pihak berkuasa menyiasat pemilik TMI berhubung dakwaan berkenaan.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, berkata SKMM sudah menerima laporan berhubung perkara berkenaan.

"SKMM akan menyiasat laporan itu bagi melihat sama ada wujud sebarang pelanggaran akta, sebarang tindakan selanjutnya kita akan maklum kemudian," katanya.

1168 dibaca
Berita Harian X